Penyerang PSG, Kylian Mbappe meledak gol pembukaan pasukannya dalam saingan Ligue 1. FOTO AFP
Penyerang PSG, Kylian Mbappe meledak gol pembukaan pasukannya dalam saingan Ligue 1. FOTO AFP
AFP

Paris: Gol pembukaan Kylian Mbappe mencetus kemenangan 4-1 Paris Saint-Germain di Strasbourg ketika skuad kendalian Mauricio Pochettino kembali tiga mata mengatasi pendahulu liga, Lille dalam pemburuan kejuaraan mahkota Ligue 1.

Pablo Sarabia dan Moise Kean turut meledak gol pada babak pertama sementara Leandro Paredes menjaringkan gol keempat menerusi sepakan percuma ketika PSG melakukan kunjungan ke Alsace yang berlangsung sebelum aksi kedua saingan suku akhir Liga Juara-Juara berdepan Bayern Munich.

Pemain muda, Moise Sahi merapatkan kedudukan jaringan buat Strasbourg tetapi juara bertahan itu kembali bangkit selepas tewas di laman sendiri ke atas Lille minggu lalu dan merapatkan jurang dengan pendahulu yang mencatat kemenangan 2-0 di Metz pada Jumaat.

"Ia adalah kemenangan penting bagi kami kerana tiga mata itu meletakkan kami kembali bersaing bagi kejuaraan, tapi ia bukan mengenai tekanan atau terlalu panik," kata Pochettino bekas bos Tottenham Hotspur kepada Canal Plus.

"Hari ini kami menunjukkan perjuangan sebenar bersama-sama. Kami mahu lebih konsisten tapi kami bertarung dalam tiga kejohanan besar. Pasukan harus mempunyai harapan tinggi dan kepercayaan malah hari ini adalah perlawanan yang baik buat kami."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 9:12 AM