DAVID meraikan jaringan di hujung perlawanan. FOTO AFP
DAVID meraikan jaringan di hujung perlawanan. FOTO AFP
AFP

Paris: Dua gol di lewat permainan oleh penyerang Kanada, Jonathan David membantu Lille mengalahkan Marseille 2-0 pagi tadi untuk mengekalkan mereka di tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata mengatasi Paris Saint Germain (PSG).

Pasukan Mauricio Pochettino kekal di tangga kedua selepas berjaya mengalahkan Bordeaux 1-0, manakala Lyon ketinggalan satu mata di belakang mereka selepas menumpaskan Rennes dengan jumlah gol yang sama.

Pasukan tangga keempat, Monaco ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga selepas mereka tumpas 0-1 kepada Strasbourg.

Lille yang dibimbing Christophe Galtier meneruskan rekod tanpa kalah 10 perlawanan liga namun dikecewakan oleh Marseille hampir 90 minit permainan.

Percubaan David dan Timothy Weah pada separuh masa kedua berjaya diselamatkan Steve Mandanda.

Bagaimanapun, ketika penjaga gol Marseille itu cuba untuk menghalang percubaan Jonathan Ikone pada minit ke-90, David melakukan penyudah susulan bagi memecah kebuntuan.

Pemain berusia 21 tahun itu sekali lagi meledak jaringan di masa kecederaan selepas menyempurnakan hantaran lintang Ikone untuk melengkapkan gol kesembilannya musim ini.

"Kami memang mencarinya (kemenangan) biarpun sehingga hujung saingan, pemain menunjukkan kesungguhan dan berkorban. Kejuaraan? Kami semakin hampir," kata Galtier.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 11:25 AM