KEAN (kiri) meledak gol kemenangan PSG ketika bertemu Nice. FOTO AFP
KEAN (kiri) meledak gol kemenangan PSG ketika bertemu Nice. FOTO AFP
AFP

Paris: Gol Moise Kean memberikan Paris Saint Germain (PSG) kemenangan 2-1 ke atas Nice awal pagi tadi tatkala mereka membiasakan diri dengan ketiadaan Neymar untuk berada di tangga teratas Ligue 1, selepas pesaing kejuaraan, Lyon kalah kepada Montpellier.

Kean meledak gol pada minit ke-76 untuk jaringan ke-10 di Ligue 1 sejak menyertai PSG secara pinjaman dari Everton.

Pasukan bimbingan Mauricio Pochettino berada di depan hasil gol pembukaan Julian Draxler sebelum Rony Lopes menyamakan kedudukan di Perc des Princes.

Ia pembakar semangat buat PSG, tiga hari sebelum mereka berdepan Barcelona pada perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara dan ia membolehkan mereka merampas tangga teratas hasil perbezaan jaringan dengan Lille.

Lille dijangka mampu merampas kembali kedudukan pendahulu liga jika berjaya mengalahkan Brets di tempat sendiri awal pagi esok.

PSG juga mengambil kesempatan di atas kekalahan Lyon, yang sekarang ini kurang dua mata untuk berada di tangga ketiga selepas kalah mengejut di laman sendiri 1-2 ketika berdepan Montpellier.

"Hari ini secara keseluruhan saya rasa kami sepatutnya berasa gembira. Kami berada dalam kedudukan yang kami mahukan.

"Saya rasa kami mengawal perlawanan dan berhak untuk mencatat kemenangan. Kami tidak bermain dengan cemerlang tapi ia adalah aksi yang sangat profesional," kata Pochettino.

PSG dijangka tidak dapat menurunkan Neymar untyk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu selepas pemain paling mahal di dunia itu mengalami kecederaan pangkal paha ketika berdepan Caen dalam saingan Piala Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 12:33 PM