ICARDI meraikan jaringan kemenangan ketika PSG berdepan Troyes. FOTO AFP
ICARDI meraikan jaringan kemenangan ketika PSG berdepan Troyes. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint Germain (PSG) mungkin akan menandatangani Lionel Messi tetapi tonggak Argentina yang lain membantu mencatat kemenangan apabila gol Mauro Icardi membolehkan mereka menang 2-1 ke atas Troyes pada aksi pembukaan musim baru Ligue 1.

Troyes yang muncul juara divisyen dua musim lalu terlebih dulu berada di depan pada minit kelapan untuk menggembirakan penyokong mereka di Stade de l'Aube apabila pertahanan Maghribi, Oualid El Hajjam menanduk masuk bola dari sepakan penjuru.

Bagaimanapun, PSG berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 hasil jaringan pertahanan kelahiran Maghribi, Achraf Hakimi, pertahanan kanan yang ditandatangani dari Inter Milan bulan lalu dan dilaporkan bernilai €60 juta (RM297 juta).

Icardi berjaya menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian, selepas berjaya menyambut baik hantaran Kylian Mbappe.

"Pada permulaan musim ia sentiasa sukar dan kami tidak bermain baik seperti yang dimahukan namun Troyes berhak meraih hadiah berharga kerana mereka bermain dengan baik," kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

Penyerang Argentina, Icardi salah seorang pemain yang akan kehilangan tempat jika Messi hadir ke kelab berkenaan selepas gagal menyambung kontrak baru dengan Barcelona.

"Terdapat banyak khabar angin. Banyak perkara diperkatakan. Saya hanya harap kami cukup kuat untuk cuba menang di dalam setiap kejohanan yang disertai," kata Pochettino.

Pasukan bimbingan Pochettino cuba untuk merampas semula kejuaraan Ligue 1 daripada Lille yang akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan berdepan Metz esok.

Sebelum itu, Lyon hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Brest dalam aksi pembukaan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 9:40 AM