NATXO ketika dilihat menolak pengadil pada perlawanan menentang Perak FC pada 22 Mac lalu. FOTO Media sosial
NATXO ketika dilihat menolak pengadil pada perlawanan menentang Perak FC pada 22 Mac lalu. FOTO Media sosial
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Natxo Insa perlu lebih berhati-hati dan tidak terlalu mengikut emosi.

Itu komen pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu selepas jawatankuasa itu bersidang pada Jumaat lalu menjatuhkan hukuman terhadap pemain naturalisasi itu.

Menurut Mora tindakan Insa menyerbu Noor Azriel Baharudin apabila menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan menentang Perak FC pada 22 Mac lalu tidak seharusnya berlaku.

"Saya tidak bersetuju dengan tindakan Natxo. Akibat tindakan itu dia dikenakan penggantungan dan denda.

"Tapi tidak boleh salahkan Natxo sahaja. Apa yang pasukan lain lakukan kepada kami juga tidak baik. Sudah tentu kesalahan terarah pemain saya. Dia juga tampak menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

"Natxo akan kembali beraksi bersama JDT dan saya berharap insiden itu tidak akan berlaku lagi. Kami tidak suka mempertikaikan keputusan pengadil. Malah kami juga tidak gemar beraksi secara agresif terhadap pasukan lawan.

"Apabila kami beraksi di padang, hanya satu sahaja matlamat utama kami adalah bermain bola sepak dan mempamerkan aksi tatkikal yang ampuh dan bukan turun beraksi untuk menimbulkan kekecohan," katanya.

Bagaimanapun, emosi pemain agak sukar dikawal tatkala perasaan kekecewaan yang secara tiba-tiba mengganggu pemain yang menyebabkan mereka seolah-olah hilang pertimbangan namun pemain sudah matang dan mereka tahu mengawal perasaan.

Insa dikenakan penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 dan jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 kod di mana pemain itu dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu dan baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

"Saya optimis Natxo akan kembali beraksi dengan lebih mantap dan melupakan insiden yang berlaku terhadapnya sehingga terpaksa digantung dan di denda," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 5:08 PM