MORA (kiri) meraikan jaringan Bergson. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MORA (kiri) meraikan jaringan Bergson. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tidak menjangka menang besar 5-0 menewaskan kelab China, Guangzhou FC malah menegaskan ia permulaan baik buat pasukan itu mengharungi kempen Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Pengendali kelahiran Mexico itu menegaskan komitmen kesebelasan utama yang diturunkan mengikut perancangan taktikal tanpa memberi ruang buat pasukan lawan bergerak ternyata membuahkan hasil selepas beraksi dengan tenang sepanjang 95 minit perlawanan.

Malah katanya, pemain juga tidak hilang displin taktikal dan membentuk kerjasama berpasukan serta berfungsi dengan baik secara kolektif sekali gus memberi impak positif dalam skuad Harimau Selatan yang menguasai permainan sehingga tamat perlawanan.

"Menang pada aksi pembuka saingan ACL tatkala menentang pasukan terbaik di rantau Asia meningkatkan lagi moral pemain dan mereka jelas teruja dengan pencapaian yang dilakukan malah mereka layak untuk menang pada perlawanan itu.

"Saya juga berpuas hati degan kombinasi Shane (Lowry) dan Shahrul (Saad) walaupun kedua-dua pemain itu jarang digandingkan bersama tapi pada sesi latihan mereka membentuk persefahaman yang baik dan sebab itu saya pilihan mereka mengemudi benteng JDT.

"Setiap pemain yang diturunkan ada tugas yang perlu dilaksanakan malah kami tidak terlalu bergantung kepada seorang pemain sahaja, mungkin malam ini saya pilih Shane dan Shahrul beraksi dan tidak mustahil aksi seterusnya saya akan senarai pemain lain dalam kesebelasan utama," katanya

Mora juga menegaskan setiap perancangan bergantung kepada situasi yang sesuai dan semestinya apa yang dirancang harus dilakukan secara kolektif bagi mengelak kecelaruan sehingga boleh mengundang keputusan kurang baik buat JDT.

Ditanya mengenai corak permainan JDT yang tidak bertindak pantas menggerakkan bola di kawasan tengah, Mora berkata transisi pergerakkan bola sentiasa lancar dan tidak berlaku `kecacatan' di posisi itu tatkala Natxo Insa memainkan peranan baik mengemudi jentera tengah,

"Kami menguasai 81 peratus permainan dan tidak mungkin untuk kami beraksi secara perlahan, malah kami membentuk formasi dengan baik dan berjaya mencipta jaringan walaupun berdepan corak formasi 5-4-1 pasukan lawan tapi kami berjaya menemui ruang bagi menjaringkan gol," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 11:18 AM