AKSI perlawanan dalam saingan Liga Super Sabah FC menentang Terengganu FC di Stadium Likas, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
AKSI perlawanan dalam saingan Liga Super Sabah FC menentang Terengganu FC di Stadium Likas, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Selepas tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, Sabah FC akhirnya mencatat kemenangan pertama mereka musim ini apabila membenam Terengganu FC (TFC) 2-1 di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Lebih manis, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu turut meleburkan rekod tanpa kalah TFC dalam saingan Liga Super musim ini.

Jaringan pertama Sabah FC hadir pada minit ke-38 hasil sepakan penalti pemain import mereka, Levy Madinda selepas sebelum itu bola terkena tangan pertahanan TFC di dalam kotak penalti.

Empat minit kemudian, Madinda pula mencetuskan peluang untuk rakan sepasukannya, Sam Johson yang menyempurnakan dengan baik hantaran Madinda bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, skuad Badak terus garang menambah jaringan namun cubaan yang dilakukan mereka termasuk sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-50 tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-56, TFC berjaya menggegarkan gawang tuan rumah menerusi Jordan Mintah namun jaringan itu dibatalkan kerana dia lebih dulu mengasari penjaga gol Sabah, Rendy Robson Rining.

Gol yang dicari-cari TFC akhirnya muncul pada minit ke-78 hasil sepakan lambung Mintah yang mengatasi Rendy bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun jaringan itu hanya menjadi sagu hati buat pasukan pelawat apabila mereka gagal mendapatkan gol penyamaan sehinggalah pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, Sabah FC kini mengumpul empat mata dari lima perlawanan selepas sebelum ini mencatat satu seri dan tiga kekalahan.

Aksi seterusnya Sabah ialah menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras pada 3 April.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 10:41 PM