PEMAIN JDT II, Nicalos Alberto Fernandez (tengah) diasak pemain Sabah, Mohd Azzizan Nordin (kanan) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
PEMAIN JDT II, Nicalos Alberto Fernandez (tengah) diasak pemain Sabah, Mohd Azzizan Nordin (kanan) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) gagal melaksanakan misi memburu tiga mata tatkala beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 berdepan Sabah pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Ternyata tuan rumah yang selesa dengan jaringan 2-0 gagal mempertahankan jaringan itu selepas pelawat bangkit untuk menjaringkan dua gol bagi mengikat kedudukan 2-2 seterusnya membawa pulang satu mata.

Selepas mengasak ke kubu pelawat, gol dinanti tuan rumah hadir pada minit ke-11 apabila umpanan Nicolas Fernandez tepat kepada Lucas Ontivero yang mudah menolak bola menewaskan penjaga gol, Robson Rendy Rining.

Skuad Merah Biru tidak menunggu lama sebaik babak kedua bermula apabila menambah jaringan pada minit ke-46 menerusi tandukan Darren Lok.

Bagaimanapun tindakan Adib Zainudin yang mengasari Maxius Musa dalam kotak penalti pada minit ke-56 menyaksikan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Pemain import dari Korea Selatan, Lee Gil-hoon yang mengambil sepakan, mudah memperdaya penjaga gol, Samuel Sommervile apabila merembat tepat ke penjuru kanan bagi pelawat merapatkan jurang gol.

Benteng pertahanan JDT II yang tampak longgar pada 20 minit terakhir memberi kebebasan buat barisan serangan skuad Badak untuk melakukan beberapa percubaan berbahaya namun sempat dihalang Sommerville.

Akhirnya gol yang dicari pelawat untuk mengikat kedudukan 2-2 menjelma pada minit ke-87 selepas bola sepakan sudut Sabri Sahar tepat kepada Mafry Balang yang melonjak tinggi untuk menanduk masuk menewaskan Sommerville.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 12:32 AM