Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (depan, kanan) cuba melepasi pemain Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini. FOTO Bernama
Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (depan, kanan) cuba melepasi pemain Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini. FOTO Bernama
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hasrat Sabah Football Club (FC) untuk meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Likas, di sini, bukan sahaja tidak kesampaian malah mereka dibelasah skuad Harimau Selatan 4-1 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

JDT tidak perlu menunggu lama untuk meledak dua gol apabila mendahului tuan rumah 2-0 walaupun perlawanan baru berlangsung tujuh minit.

Arif Aiman Mohd Hanapi membuka tirai jaringan buat skuad Harimau Selatan hasil umpanan cantik daripada Mohd Afiq Fazail yang kemudiannya disudahkan dengan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Sabah FC, Robson Rendy Rining.

Seminit kemudian, hantaran Mohd Afiq sekali lagi membuahkan hasil buat JDT apabila Bergson Da Silva berjaya menjaringkan gol walaupun cubaan pertamanya berjaya ditampan Robson bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Walaupun mendahului dua gol, JDT dilihat terus garang memburu gol seterusnya menerusi beberapa serangan bahaya, namun, ianya gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Skuad Badak juga sekali-sekala mencemaskan kubu JDT namun barisan pertahanan yang dikemudi Mauricio Dos Santos Nascimento berjaya mematahkan setiap serangan mereka.

Pada minit ke-44, Sabah FC memperoleh peluang terbaik hasil cubaan Saddil Ramdani yang berjaya melepasi pertahanan lawan namun penjaga gol JDT, Mohd Farizal Maslias berjaya menampan bola dari masuk ke gawang manakala cubaan susulan Sam Johnson selepas itu juga tidak berjaya apabila pertahanan pelawat lebih pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bermula babak kedua, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto dilihat lebih garang di awal permainan namun masih gagal menembusi barisan pertahanan JDT.

Sebaliknya, pasukan pelawat pula melakukan cubaan pertama pada minit ke-52 menerusi Da Silva namun ianya lemah dan terus ke dakapan Robson.

Pada minit ke-57, Sabah FC akhirnya berjaya memperoleh gol pertama bagi menjadikan kedudukan 2-1 hasil sepakan penalti pemain import mereka, Levy Clement Madinda selepas bola terkena tangan pertahanan JDT, Adam Nor Azlin di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, JDT sekali lagi berjaya menjarakkan kedudukan hasil satu serangan balas pantas pada minit ke-67 menerusi Arif Aiman dan Leandro Sebastian Velazquez yang kemudiannya disempurnakan Da Silva bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Pada minit ke-86, giliran Velazquez pula mencatat nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Sabah di dalam kotak penalti.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 10:29 PM