PEMAIN Leipzig meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Jerman. FOTO AFP
PEMAIN Leipzig meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Jerman. FOTO AFP
AFP

Berlin: Yussuf Poulsen dan Hwang Hee Chan meledak gol di separuh masa kedua untuk membantu RB Leipzig menumpaskan Wolfsburg 2-0 dalam aksi suku akhir Piala Jerman antara dua pasukan yang berada pada prestasi terbaik di Bundesliga.

Selepas Poulsen meledak gol pembukaan, penyerang Korea Selatan, Hee Chan masuk sebagai pemain gantian untuk menambah jaringan kedua di lewat permainan dan mengesahkan slot ke separuh akhir bersama Borussia Dortmund serta pasukan divisyen kedua, Holstein Kiel.

Tuan rumah Leipzig, yang berada di tangga kedua Bundesliga, mengetepikan pelawat, Wolfsburg iaitu pasukan tempat ketiga dalam saingan liga.

Wolfsburg melepaskan peluang untuk berada di depan pada separuh masa pertama apabila penyerang Belanda, Wout Weghorst gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Kemudian Leipzig berjaya memasukkan bole ke dalam jaring namun usaha yang dilakukan Justin Kluivert dibatalkan selepas Christopher Nkunku berada di kedudukan ofsaid.

Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan apabila Poulsen berjaya melepasi kawalan pemain lawan dan melepaskan rembatan rendah pada minit ke-63.

Hee Chan mengesahkan kemaraan Leipzig dua minit sebelum tamat apabila dia melakukan rembatan susulan selepas percubaan Emil Forsberg berjaya diselamatkan.

Sebelum itu, Holstein Kiel, yang menyingkirkan Bayern Munich di pusingan kedua, mara ke separuh akhir buat kali pertama apabila menang 3-0 ke atas pasukan divisyen keempat, Rot Weiss Essen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 11:50 AM