STOJKOVIC ketika beraksi di Piala Dunia 1998 bersama Yugoslavia. FOTO Agensi
STOJKOVIC ketika beraksi di Piala Dunia 1998 bersama Yugoslavia. FOTO Agensi
AFP

Belgrade: Serbia mengumumkan pelantikan Dragan Stojkovic sebagai jurulatih baru dengan harapan bekas pemain negara berkenaan mampu membantu skuad The Eagles layak ke Piala Dunia 2022

Stojkovic, 55, akan menggantikan Ljubisa Tumbakovic yang dipecat Disember lalu selepas Serbia gagal layak ke Euro 2020 yang ditunda ke tahun ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Bolasepak Serbia (FSS) Marko Pantelic, memberitahu media tempatan walaupun masih ada isu teknikal belum diselesaikan, Stojkovic akan diperkenalkan secara rasmi minggu depan.

"Keputusan sudah dibuat, Dragan Stojkovic adalah ketua jurulatih baru pasukan kebangsaan Serbia," kata Pantelic kepada agensi berita, Tanjug.

Stojkovic membuat 84 penampilan bersama skuad kebangsaan Yugoslavia dari 1983 hingga 2001 dan salah seorang daripada pemain Eropah pertama beraksi di liga Jepun.

Pemain tengah itu beraksi selama lapan tahun di Liga J bersama Nagoya Grampus Eight, di mana dia bermain di bawah pimpinan Arsene Wenger.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 10:25 PM