Jurulatih Serbia Dragan Stojkovic mengendalikan sesi latihan pasukan. FOTO Reuters
Jurulatih Serbia Dragan Stojkovic mengendalikan sesi latihan pasukan. FOTO Reuters
AFP

Doha: Pengendali Serbia, Dragan Stojkovic menegaskan skuadnya tidak takut untuk berdepan mana-mana pasukan tatkala melakukan persediaan memulakan kempen Piala Dunia berdepan pasukan pilihan, Brazil.

"Brazil adalah pasukan yang hebat. Pada pandangan saya mereka adalah kelompok 'generasi emas' dan sudah pasti kami menjangkakan perlawanan yang sukar tetapi kami harus memberi tumpuan kepada permainan bola sepak kami dan cuba memberi saingan terbaik," kata Stojkovic kepada wartawan menjelang perlawanan pembukaan mereka bagi Kumpulan G di Stadium Lusail, Doha, awal pagi Jumaat.

Serbia gagal melepasi peringkat kumpulan empat tahun lalu selepas tewas 2-0 kepada Brazil pada perlawanan terakhir mereka.

Kali ini, Serbia dikatakan mempunyai potensi dilabelkan pasukan kuda hitam berbahaya di Qatar selepas berada di kedudukan teratas kumpulan kelayakan mereka mengatasi Portugal dan terbaru menguasai peringkat Liga Negara UEFA.

"Kami tidak takut kepada mana-mana pasukan dalam dunia ini, termasuk Brazil. Kami tak perlu bimbang," tegas Stojkovic yang dilantik membimbing skuad itu pada Februari tahun lalu menggantikan Ljubisa Tumbakovic selepas Serbia gagal layak ke Euro 2020.

Berada di ranking 21 dunia, Serbia bagaimanapun bakal tampil dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G mereka dengan kebimbangan mengenai kecergasan pemain utama iaitu pemain sayap Juventus, Filip Kostic.

"Keadaannya masih menjadi persoalan sama ada dia akan menyertai pasukan kerana dia mengalami kecederaan pada perlawanan terakhir bersama Juventus," kata Stojkovic sambil menambah penyerangnya, Aleksandar Mitrovic dijangka dapat beraksi.

Penyerang berusia 28 tahun itu beraksi cemerlang untuk Fulham dan menjaringkan sembilan gol dalam 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Bagaimanapun dia tidak beraksi dalam dua perlawanan terakhir bersama kelabnya kerana mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 12:57 AM