Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (tiga kanan) bergambar bersama barisan pemain Perlis Border Girls. FOTO AIZAT SHARIF
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (tiga kanan) bergambar bersama barisan pemain Perlis Border Girls. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Perlis Border Girls (PBG) menepati ramalan apabila menjuarai Kejohanan Takaful Ikhlas Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini semalam selepas membenam cabaran DKI Jakarta dari Indonesia dengan kejayaan 26-10.

PBG yang bersaing dalam kategori wanita terbuka itu dilihat begitu konsisten dari segi prestasi perlawanan apabila merekodkan empat kemenangan bermula dari perlawanan pada Sabtu lalu dalam kategori yang turut membariskan kelab ragbi wanita seperti Penang Ladies, PDRM Ladies, Ladies Barbarian dan DKI Jakarta.

Jurulatih PBG, Mohd Nizard Mohd Noor berkata, kejayaan yang dilakar oleh anak buahnya sememangnya menepati ramalan yang diharapkan sebelum ini dan mereka mengambil sikap perlawanan demi perlawanan untuk memantapkan persefahaman taktikal yang dirancangkan.

"Jika dilihat pada hari pertama, persembahan kita agak santai sedikit disebabkan 'grouping' kita tidaklah rumit dan ini membuatkan kita mempelbagaikan taktikal kita dalam menghadapi lawan.

"Namun pada hari kedua, kita melihat terdapat perubahan dari segi corak permainan apabila taktikal yang kita rancang semasa latihan benar-benar menjadi dan pada final, asakan pemain Indonesia itu berjaya dikekang oleh anak buah saya.

"Saya melihat anak buah saya melakukan kerja dengan baik dan semua bergerak sebagai satu pasukan, tiada siapa pun menjadi 'penumpang' dalam pasukan ini dan itu yang membawa kepada kejayaan kita hari ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini semalam.

Katanya, PBG adalah pasukan yang dibarisi oleh kombinasi pemain senior dan muda yang terdiri daripada pemain Perlis serta beberapa negeri lain dan kebanyakkannya mempunyai pengalaman beraksi di peringkat tinggi dan pertandingan yang berskala besar.

Bagi Ketua Pasukan PBG, Umi Aida Natasya Abdullah berkata, walaupun hanya lima kelab termasuk satu dari Indonesia sahaja yang menyertai kategori wanita terbuka, saingan yang diberikan sebenarnya agak mencabar terutama dari DKI Jakarta.

"Kami bermula agak santai pada perlawanan pertama kemudian rentak perlawanan juga semakin berubah setiap perlawanan dan taktikal yang diberikan oleh jurulatih itu alhamdulilah, menjadi sepanjang perlawanan ini," katanya.

Dengan kemenangan itu, PBG membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan pingat manakala DKI Jakarta pula membawa pulang wang berjumlah RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 4:18 PM