OCAMPOS (kanan) meraikan jaringannya yang membolehkan Sevilla ke separuh akhir Copa del Rey. FOTO EPA
OCAMPOS (kanan) meraikan jaringannya yang membolehkan Sevilla ke separuh akhir Copa del Rey. FOTO EPA
AFP

Madrid: Jaringan Lucas Ocampos pada separuh masa kedua sudah cukup buat Sevilla untuk mengatasi pasukan divisyen dua, Almeria 1-0 bagi mara ke separuh akhir Copa del Rey.

Papu Gomez, yang menyertai pasukan dari Atalanta minggu lalu, membuat penampilan pertama buat Sevilla namun hanya memberi sedikit impak dan dikeluarkan selepas sejam perlawanan berlangsung.

Ia adalah aksi pertamanya sejak 16 Disember selepas tidak menambat hati jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.

"Saya rasa dia bermain dengan baik. Ia bukan mudah buatnya selepas sebulan setengah tidak bermain dan saya rasa dia berada pada tahap terbaik," kata pengendali Sevilla, Julen Lopetegui.

Rakan senegara Gomez dari Argentina memecahkan kebuntuan pada minit ke-67 selepas menanduk masuk hantaran lintang Suso.

Ia buat kali pertama Sevilla, juara lima kali, mara ke separuh akhir sejak dibelasah Barcelona 5-0 dalam perlawanan akhir 2018.

Sevilla sedang memburu trofi utama kedua di bawah bekas jurulatih Sepanyol dan Real Madrid, Lopetegui, selepas mereka muncul juara Liga Europa musim lalu.

Pasukan bimbingan Lopetegui sekarang ini mencatat enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan hanya tumpas sekali dalam 16 perlawanan terakhir.

Mereka yang menduduki tangga keempat La Liga, juga mara dalam 16 terakhir Liga Juara-Juara dan bakal berdepan Borussia Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 1:15 PM