GASPERINI mengakui sangat kecewa kemenangan mereka dirobek PSG. FOTO AFP
GASPERINI mengakui sangat kecewa kemenangan mereka dirobek PSG. FOTO AFP
AFP

GIAN Piero Gasperini mendedahkan kekecewaan yang sangat mendalam selepas Atalanta yang hampir mencatat kemenangan terbesar dalam Liga Juara-Juara berdepan Paris Saint-Germain (PSG) direntap pada saat akhir awal pagi tadi.

Pasukan dari Serie A itu mendahului 1-0 pada aksi suku akhir hingga beberapa minit sebelum perlawanan tamat di Lisbon namun mereka disingkirkan melalui jaringan di hujung perlawanan melalui Marquinhos dan Eric Choupo-Moting.

"Saya mengakui bahawa berasa sangat kesal, kami sangat hampir, begitu hampir. Ia kelihatan seperti kami mampu melaluinya, mencatat pencapaian paling cemerlang.

"Kami dapat memperoleh kepuasan daripada pengalaman, bagaimana peningkatan dapat dilihat dalam saingan Liga Juara-Juara. Ia kelihatan seperti kami sudah menyelesaikannya," kata Gasperini.

Kekalahan berkenaan sangat kejam buat pasukan yang mempamerkan aksi luar biasa sepanjang musim.

Atalanta menamatkan saingan Serie A di tempat ketiga dua musim berturut-turut dan menarik perhatian peminat seluruh Eropah dengan aksi bola sepak yang meyakinkan sehingga membolehkan mereka meledak 98 gol di peringkat liga.

Bagaimanapun, selepas Kylian Mbappe dimasukkan pada separuh masa kedua PSG mula menunjukkan belang dan Atalanta semakin tenggelam.

"Mbappe masuk dalam padang dengan membentuk kombinasi mantap bersama Neymar, mengubah segala-galanya buat PSG.

"Kehadirannya memberi tenaga buat PSG yang sudah hilang keupayaan dalam perlawanan, ia sangat penting kerana kita perlu lihat apa yang mampu disumbangkannya.

"Gol penyamaan dan selepas itu, meninggalkan kepahitan mendalam buat kami. Bagaimanapun, PSG mempunyai peluang terbaik untuk mara ke perlawanan akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 10:51 AM