Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Merayu sudah, memperketatkan standard operasi prosedur (SOP) pun sudah dilakukan namun akhirnya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa 'mengalah' dengan membatalkan kejohanan Piala Malaysia.

Hal ini bermakna, 2020 mencatat sejarah tersendiri apabila sepanjang tempoh penganjuran kejohanan tertua di Asia Tenggara itu tiada juara dinobatkan pada edisi kali ini sekali gus menyaksikan industri sukan negara terus sendu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya harus akur dengan keputusan terbaharu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana pihak kerajaan tidak membenarkan kejohanan Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

"MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.

"Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan SOP bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan tetapi seperti saya katakan tadi MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.

"Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak.

"Pembatalan terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

"Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh TM Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi," katanya.

Sebelum itu, peminat bola sepak tanah air terus kempunan untuk menyaksikan baki aksi Piala Malaysia apabila kerajaan tetap dengan pendirian untuk menangguhkan kejohanan itu kerana Covid-19.

Perkara terbabit diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media PKPB apabila mesyuarat MKN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk 'menolak' rayuan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.

Beliau berkata, ketika ini pihak kerajaan melihat agak sukar mengawal seterusnya mengelak penularan Covid-19 di kalangan pemain dan pegawai pasukan sepanjang tempoh saingan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 3:14 PM