WINDSOR Paul mengesahkan pembatalan kejohanan B-19 dan B-16. FOTO Owee Ah Chun
WINDSOR Paul mengesahkan pembatalan kejohanan B-19 dan B-16. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Teka-teki status kejohanan Bawah-19 Tahun(B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan akhirnya terjawab selepas mesyuarat exco badan induk bola sepak asia itu sebulat suara membatalkan perlawanan terbabit atas faktor keselamatan.

Keputusan itu diambil selepas semua ahli exco bermesyuarat hari ini dengan mengambil kira pelbagai faktor terutama membabitkan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Turut menerima tempias adalah kejohanan membabitkan Bawah 16 tahun (B-16) yang sepatutnya berlangsung di Bahrain turut dibatalkan penganjurannya pada tahun ini.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata, kedua-dua kejohanan berkenaan akan diteruskan pada 2022 dengan Uzbekistan dan Bahrain kekal menjadi tuan rumah.

"Selepas kami mengadakan perbincangan akhirnya bersetuju menerima saranan atau cadangan daripada jawatankuasa pertandingan untuk membatalkan kedua-dua kejohanan itu pada musim ini.

"Kejohanan pada edisi akan datang akan diteruskan dengan Uzbekistan tetap menjadi tuan rumah untuk B-19 manakala Bahrain pula membabitkan B-16 dan pasukan bertanding masih kekal.

"Setakat ini, tiada sebarang perubahan kepada keputusan berkenaan kerana ia sebenarnya demi memastikan keselamatan semua pihak lebih terjamin memandangkan pandemik Covid-19 semakin membimbangkan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan jawatankuasa pertandingan AFC akan bersidang tidak lama lagi bagi menilai, mengkaji dan mendapatkan maklum balas pasukan bertanding mengenai saingan itu.

Segala aspek akan diambil kira terutamanya soal pandemik Covid-19 yang dilihat masih menular dan aktif dikebanyakan negara Asia.

Malah, keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan Piala Dunia B-20 di Indonesia pada tahun depan juga akan diambil kira kerana saingan di Uzbekistan turut menawarkan empat tiket ke pentas Piala Dunia.

Sementara itu, juara tujuh kali Liga Super Johor Darul Ta'zim(JDT) tidak berdepan sebarang masalah untuk menyertai kejohanan peringkat AFC selepas mendapati penarikan diri pada perlawanan terdahulu adalah disebabkan pintu sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"JDT tidak berdepan sebarang masalah untuk menyertai kejohanan peringkat AFC iaitu pasukan itu bebas dikenakan sebarang hukuman atau denda kerana menarik diri berikutan itu adalah bukan kerana mereka enggan menyertai namun disebabkan tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 7:35 PM