GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan sehingga kini, tujuh termasuk enam pemain Kejohanan Liga Juara-Juara AFC, Zon Barat musim ini diuji positif Covid-19.

AFC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan, semua mereka didapati positif dalam ujian saringan yang dilakukan pihak berkuasa perubatan Qatar, semasa tiba untuk perlawanan peringkat kumpulan di Doha.

Mereka adalah lima pemain dan seorang anggota pengurusan pasukan juara bertahan Al Hilal Club, Arab Saudi dan seorang lagi pemain dari pasukan Qatar, Al Duhail.

"Semua keperluan perubatan dan sokongan yang bersesuaian diberikan kepada kedua-dua pasukan dan mereka yang diuji positif berada di bawah pengawasan perubatan dalam lingkungan kuarantin seperti yang ditetapkan sebagai protokol dan langkah-langkah keselamatan Covid-19 untuk kejohanan ini," menurut AFC.

Selepas beberapa bulan ditangguhkan susulan pandemik Covid-19, pertandingan kelab terbaik Asia dijadualkan berlangsung pada Isnin, di mana AFC sebelumnya menyatakan ia akan berlangsung di bawah peraturan kesihatan yang ketat, untuk melindungi pemain dan pegawai dari wabak itu.

Perlawanan Zon Timur, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah dijadualkan berlangsung dari 15 November hingga 13 Disember, diikuti perlawanan akhir di Zon Barat pada 19 Disember untuk menentukan wakil Asia ke Piala Dunia Kelab FIFA.

AFC pada Khamis lalu mengumumkan pembatalan pertandingan peringkat kedua Piala AFC, Piala Solidariti AFC dan Kejohanan Kelab Futsal AFC Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2020, manakala kejohanan AFC Bawah 16 Tahun (B-16) dan AFC Bawah 19 Tahun (B-19), yang dijadualkan berlangsung di Bahrain dan Uzbekistan pada Oktober, ditunda ke awal 2021.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 3:37 PM