DATUK Windsor Paul John . FOTO Owee Ah Chun
DATUK Windsor Paul John . FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


KEJOHANAN Bawah 19 tahun (B-19) AFC di Uzbekistan, Oktober depan berjalan seperti biasa tanpa sebarang halangan walaupun terdapat perkhabaran perlawanan terbabit dibatalkan atas faktor pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, setakat ini pihaknya melihat tiada keperluan perlawanan berkenaan dibatalkan berikutan kes terbabit di Uzbekistan semakin terkawal selain negara itu sudah membuka pintu sempadannya untuk penerbangan luar.

Beliau berkata, kejohanan B-19 AFC berbeza dengan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila perlawanan itu diadakan hanya satu tempat sekali gus memudahkan pihak berkaitan mengawal pergerakan pemain dan pegawai pasukan.

"Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 negara dengan mereka perlu melalui perlawanan timbal balik sekali gus memerlukan pasukan lawan memohon kebenaran dan menjalani perintah kuarantin.

"Malah, ada antara negara terbabit masih tinggi kes penularan Covid-19 dan tidak membuka pintu sempadan kepada orang luar sekali gus sukar untuk meneruskan perlawanan itu dalam masa terdekat ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh AFC, FIFA terpaksa menunda aksi kelayakan Piala Dunia 2022 ke tahun depan susulan penularan Covid-19.

Malah, kebanyakan negara bertanding juga masih menutup pintu sempadan buat perjalanan masuk bagi mengekang pandemik itu.

Sementara itu, Windsor berkata, sebarang perkembangan lanjut termasuk perubahan jadual berkaitan perlawanan B-19 akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

"Setakat ini, tiada perubahan membabitkan perlawanan terbabit dan pasukan boleh menjalani latihan seperti biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:28 PM