TANG Jie (kanan) dan Ee Wei giat menjalani latihan. FOTO ASYRAF HAMZAH
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei giat menjalani latihan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui pentas Olimpik cukup luar biasa sekali gus menuntut mereka melakukan persiapan rapi bagi mengharungi temasya itu.

Walaupun pernah beraksi di Jelajah Dunia Akhir (WTF) tahun lalu, namun bagi Ee Wei, perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai sandaran untuk menggapai impian besar di Sukan Olimpik ke-33 di Paris.

Ee Wei bersama pasangannya yang akan beraksi kali pertama di pentas tertinggi sukan dunia itu mengakui persiapan terbaik mampu mengubah nasib mereka jika mahu melakukan memperoleh keputusan positif kelak.

"Buat masa sekarang, kami tidak pernah sesekali memikirkan mengenai bagaimana saingan di Olimpik, kami tidak mahu membayangkannya kerana mahu fokus kepada persiapan.

"Persiapan latihan setakat ini kami lakukan yang terbaik termasuklah latihan mental yang dibuat di sini (Akademi Badminton Malaysia)," katanya.

Menurutnya, dia menolak WTF yang menggunakan format sama seperti Sukan Olimpik, iaitu pemain akan dibahagikan dalam dua kumpulan berbeza, berikutan taraf kejohanan di Olimpik, jauh lebih tinggi.

"Sukan Olimpik hanya berlangsung empat tahun sekali, jadi semua pesaing mahukan pingat emas dan ia membabitkan semangat berjuang yang berlainan.

"Paling penting, selain latihan kekuatan mental yang kami terima, kami juga membuat kerja rumah, berbincang sendiri dan mahu melakukan perkara berbeza.

"Selain menonton video perlawanan lawan, kami juga melakukan perkara lain untuk mengejutkan mereka dan memperoleh keputusan positif," katanya.

Untuk rekod, undian bagi badminton di Sukan Olimpik hanya akan dibuat pada 12 Julai ini.

Pada temasya itu kelak, badminton akan beraksi sehari selepas pembukaan iaitu pada 27 Julai hingga 5 Ogos.

Beregu campuran membuka tirai aksi pada pagi 27 Julai seterusnya menjadi acara pertama berlangsung di gelanggang Porte de la Chapelle Arena dengan menawarkan pingat emas pada 2 Ogos, diikuti beregu wanita (3 Ogos), beregu lelaki (4 Ogos) dan perseorangan lelaki serta wanita pada (5 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 6:47 PM