AMELIA Ali menunjukkan gambar kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dikenali sebagai Olie. FOTO Muhamad Lokman Khairi
AMELIA Ali menunjukkan gambar kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dikenali sebagai Olie. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disyaki mangsa dera.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung, Nor Amelia Ali berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Olie itu dirujuk oleh Hospital Seri Manjung kepada pihaknya pada 6 Mei lalu.

Menurutnya, doktor yang merawat kanak-kanak itu memaklumkan dia berada dalam keadaan tidak sihat.

"Terdapat kesan lebam di belakang badan, dahi, kedua-dua belah tangan dan peha serta kesan luka lama pada leher, tangan dan kedua-dua belah kaki kanak-kanak itu.

"Siasatan awal mendapati ibu kandungnya meninggalkan kanak-kanak itu kepada seorang penjaga wanita warga Indonesia pada Disember tahun lalu, sebelum menghilangkan diri.

"Penjaga sementara itu mendakwa dia pernah menghubungi ibu kandung Olie yang bekerja di Kuala Lumpur bagi meminta wang perbelanjaan, bagaimanapun nombor telefonnya disekat dan sejak itu tidak dapat dihubungi," katanya.

Nor Amelia berkata, kanak-kanak itu kini ditempatkan dalam jagaan sementara di institusi JKM mengikut Seksyen 25(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bermula 9 Julai lalu sehingga 8 Ogos depan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung kanak-kanak itu boleh menyalurkannya ke Bahagian Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung menerusi talian 05-6883110.

"Sekiranya tiada waris, JKM akan mendapatkan perintah tetap mahkamah bagi mencari penjaga yang layak dan sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 3:26 PM