Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia ketika menyertai kejohanan di England. FOTO AFP
Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia ketika menyertai kejohanan di England. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia tidak mengendahkan dan memilih mengabaikan komen-komen yang membandingkannya dengan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, Datuk Lee Chong Wei, ketika menjelangnya Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Juara Seluruh England 2021 itu berkata fokus beliau kini ialah meneruskan misi beraksi buat julung kalinya pada Sukan Olimpik, tanpa sebarang tekanan.

"Saya sedar bahawa ramai yang membandingkan saya dengan Chong Wei selama ini.

"Saya tidak peduli komen-komen tersebut. Saya harap saya dapat berlepas ke Tokyo dalam prestasi terbaik dan tidak berasa tertekan sama sekali," katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia hari ini.

Zii Jia yang ketika ini berada pada kedudukan kelapan dunia turut berharap dapat merangkul pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak mementingkan warna pingat asalkan beliau dapat mengharungi cabaran dan melakukan yang terbaik ketika beraksi di Musashino Forest Sports Plaza.

Pemain berasal dari Kedah itu menjadi antara pesaing utama pingat di Tokyo berikutan kejayaan merangkul gelaran juara Seluruh England selepas mengalahkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 pada final di Birmingham, Mac lalu.

Zii Jia bersama-sama tujuh lagi pemain akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo, ialah Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita); dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai-8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:01 PM