Amir Nafis pada sidang media dan doa selamat filem Dajal di Wisma Metrowealth. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Amir Nafis pada sidang media dan doa selamat filem Dajal di Wisma Metrowealth. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Amir Nafis mengakui, filem lakonannya, Sheriff: Narko Integriti memberi kesan besar kepada kerjaya seni dan mengubah hidupnya.

Amir, 32, yang memegang watak sebagai Inspektor Farouk dalam filem aksi itu kini lebih dikenali dan menerima lebih banyak tawaran lakonan.

"Sheriff mengubah hidup saya dan kini orang lebih mengenali saya. Mana-mana pergi pun orang akan panggil Inspektor Farouk atau Tikus iaitu nama watak dalam filem itu.

"Sejujurnya, dulu kalau pergi mana-mana saya tak rasa pun orang kenal tapi sekarang alhamdulillah, sudah semakin dikenali dan tawaran berlakon juga bertambah.

"Pengikut Instagram juga sedikit meningkat. Walaupun tak banyak, namun saya tetap rasa bersyukur dan gembira," katanya.

Amir juga menerima seadanya sekiranya wataknya lebih popular berbanding nama sebenarnya sebagai pelakon.

"Tak ada masalah sekiranya mereka lebih kenal watak lakonan saya berbanding saya sendiri sebab tanggungjawab saya adalah menghidupkan watak.

"Kalau mereka lebih kenal watak itu maknanya karakter yang saya lakonkan berhasil. Tetapi dalam masa yang sama, dari segi kerjaya pula saya harap selepas ini orang kenal saya jugalah.

"Sebagai contoh ada yang panggil saya Arshad semasa musim filem Talbis Iblis, dan selepas saya berlakon dalam Sheriff, orang panggil saya Farouk.

"Sehingga kini masih ada yang panggil saya dengan nama Farouk, kebanyakan orang tak kenal nama sebenar saya, mereka hanya tahu nama watak saya sahaja," katanya.

Terbaharu, Amir bakal memulakan penggambaran filem seram berjudul Dajal: Satu Malam Diperdajal arahan pengarah Pierre Andre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 3:50 PM