Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Skuad Olimpik badminton negara kini menjalani latihan lebih 'keras' sejak tiga minggu lalu dengan matlamat perbaiki setiap kelemahan sebagai persiapan menghadapi temasya di Tokyo kelak.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata, latihan khas itu termasuklah membabitkan kawalan emosi pemain supaya tidak tertekan terutama ketika berhadapan lawan lebih hebat.

Beliau berkata, barisan pemain yang akan berjuang di Tokyo nanti dilihat mampu memberi tentangan sengit seterusnya mencipta kejayaan untuk negara.

"Saya boleh katakan kejayaan pemain perseorangan negara Lee Zii Jia di Seluruh England 2021 meniup semangat kepada kem badminton negara untuk beraksi cemerlang di sukan Olimpik.

"Jika dilihat pada prestasi terkini mereka cukup bersemangat dan sentiasa perbaiki kelemahan pertingkatkan lagi teknikal permainan masing-masing.

"Perkara penting adalah memastikan mereka dapat mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi dan mengelak daripada kecederaan ketika latihan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, kem badminton negara membawa khabar gembira apabila mengesahkan lapan pemain mereka secara rasminya menempah tiket untuk beraksi di temasya Olimpik Tokyo.

Menerusi kenyataan rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan pemain yang bakal menggalas cabaran itu membabitkan Zii Jia dan pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turut mengesahkan tempat ke kejohanan empat tahun sekali itu adalah Soniia Cheah (Perseorangan Wanita), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (Beregu Wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Beregu Campuran).

Selain lapan pemain terbabit, dua pemain skuad Paralimpik kebangsaan turut mencatat nama ke temasya berkenaan menerusi Cheah Liek Hou dan Didin yang layak secara merit ke Tokyo Paralimpik 2020.

Mengikut rekod, Olimpik Rio 2016, skuad badminton negara menjadi sukan paling cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat perak menerusi kejayaan bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei selain beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:31 PM