TZE YONG diketepikan untuk fokus kepada latihan. FOTO NSTP
TZE YONG diketepikan untuk fokus kepada latihan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan berani apabila menggugurkan pemain perseorangan lelaki berpotensi Ng Tze Yong daripada pasukan yang akan menggalas cabaran di Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 14 hingga 19 Februari.

Keputusan terbabit agak mengejutkan kerana rata-rata menjangkakan sudah pasti BAM membawa skuad terkuat termasuklah menyenaraikan Tze Yong yang berada di kedudukan ranking ke-27 dunia bersama pemain nombor dua dunia yang kini bergerak secara profesional, Lee Zii Jia.

Badan induk badminton negara itu memberi peluang kepada pemain muda Leong Jun Hao untuk menggalas cabaran sebagai perseorangan kedua buat skuad negara.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memastikan Tze Yong mempunyai tempoh masa latihan yang cukup sebelum mengharungi jadual yang padat apabila pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada 1 Mei depan.

"Kami memutuskan untuk tidak menyenaraikan Tze Yong kerana memang dari awal kita berasa yang dia memerlukan waktu latihan yang cukup demi persiapan untuk fasa kedua selepas siri kejohanan di Asia bulan ini.

Ini penting untuk kita meletakkan dia di landasan tepat seperti perancangan awal kami terhadap dia.

"Selepas ini, tidak banyak masa untuk dia melakukan persiapan untuk tempoh jangka masa yang panjang apabila pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik bermula pada Mei nanti.

Jadinya, kita anggap ini adalah satu fasa yang penting demi memenuhi sasaran untuk dia layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kami percaya persiapan awal ini boleh mengukuhkan lagi proses peningkatan Tze Yong dan sebab itu kami mengetepikan dia daripada misi di BAMTC kali ini," katanya.

Sementara itu, bagi acara perseorangan wanita, skuad negara mempertaruhkan juara remaja dunia dua kali yang juga pemain profesional, Goh Jin Wei selain pemain muda, Wong Ling Ching manakala juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menjadi sandaran untuk menggalas cabaran dalam acara beregu lelaki.

Juara Terbuka Perancis 2022, Pearly Tan-M Thinaah akan mengetuai cabaran dalam acara beregu wanita bersama Teo Mei Xing-Go Pei Kee sementara gandingan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan beregu BAM, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab bagi acara beregu campuran.

Choong Hann, berkata semua empat wakil profesional yang disenaraikan dalam pasukan kali ini sudah menyatakan persetujuan untuk beraksi dalam kejohanan di Dubai itu.

"BAM sudah pun berkomunikasi dengan mereka sebelum ini dan semuanya bersetuju untuk bermain sebelum kami mengeluarkan senarai pemain yang akan beraksi di BAMTC kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 3:02 PM