Seorang warga emas, Sharifah Mariam, 76, menunjukkan tulisan Nabi Khidir pada papan tanda dalam surau Tok Ku Paloh. FOTO BAHAROM BAKAR.
Seorang warga emas, Sharifah Mariam, 76, menunjukkan tulisan Nabi Khidir pada papan tanda dalam surau Tok Ku Paloh. FOTO BAHAROM BAKAR.
Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Cicit kepada Tok Ku Paloh, Syed Khairul Syed Mustafa menafikan dakwaan terdapat tiang tempat Nabi Khidir bersandar di surau ulama tersohor itu seperti yang tular sejak Ahad lalu.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata Syed Khairul membuat penafian itu kepada pegawai penguat kuasa syariah jabatan itu, semalam.

Katanya, Syed Khairul yang juga imam surau berkenaan yang terletak di Kampung Paloh di sini, mengakui tidak pernah mendengar cerita berkaitan Nabi Khidir pernah hadir dan bersandar pada salah satu tiang di surau berkenaan.

"Kita sudah menghubungi Syed Khairul dan dia menafikan serta tidak pernah mendengar cerita berkaitan dakwaan Nabi Khidir pernah hadir dan bersandar pada salah satu tiang di surau berkenaan.

"Kita juga turut menemu bual dua penduduk setempat dan mereka juga turut menafikan dakwaan seperti yang ditularkan oleh pemilik akaun TikTok Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, M Rozi berkata, hasil siasatan berkait dengan penularan video berdurasi selama dua minit dan 58 saat itu dirakam antara empat dan lima tahun lepas.

"Dalam video itu, kita dapati warna dinding rumah yang berada di tepi surau Tok Ku Paloh berwarna kelabu, tetapi pemilik kediaman berkenaan sudah mengecatnya dengan warna hijau gelap.

"Penduduk yang tinggal berhampiran kediaman itu mengesahkan warna pada dinding ditukar antara empat dan lima tahun lalu," katanya.

M Rozi turut mengesahkan penduduk tidak mengenali individu yang terdapat dalam rakaman video berkenaan.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan dan tinggal bersebelahan dengan surau itu memaklumkan, rakaman video itu dibuat ketika sekumpulan individu singgah di surau berkenaan selepas menziarahi makam Tok Ku Paloh sekitar tahun 2020.

"Saya terkejut dan kecewa apabila melihat video itu ditularkan sejak Ahad lalu.

"Surau Tok Ku Paloh yang hanya mampu menampung antara 30 dan 50 jemaah hanya dihadiri penduduk setempat untuk menunaikan solat secara berjemaah," katanya.

Bagaimanapun katanya, sejak penularan video itu, suasana di surau itu berjalan seperti biasa, jumlah jemaah yang hadir terutama penduduk kampung untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah hanya dalam 10 dan 20 orang.

Sementara itu, tinjauan mendapati terdapat tulisan kecil tertera Nabi Khidir pada papan berwarna putih berhampiran tiang yang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar.

Turut mendapat tiang yang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar berada di sebelah kanan surau dan bukannya menghadap ke arah kiblat.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 3:08 PM