NORZA (kanan) mahu pemain negara mempunyai semangat juang tinggi.
NORZA (kanan) mahu pemain negara mempunyai semangat juang tinggi.
Ferzalfie Fauzi


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyelar pemain badminton negara baik remaja mahupun senior yang masih lemah dari segi semangat melawan dan kekuatan mental.

Menurut Norza, perkara itu sudah disampaikan kepada Pengurus Besar BAM, Michelle Chai untuk dimaklumkan kepada semua jurulatih.

“Semua bercakap mengenai semangat juang Thailand, China dan Indonesia. Bagaimanapun, saya tidak melihat perkara itu kepada pemain negara kecuali ketika Vivian Hoo-Woon Khe Wei muncul juara Terbuka New Zealand dan aksi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai di Terbuka Denmark. Kami mahu ia konsisten,” katanya pada majlis penyerahan surat pengiktirafan ahli gabungan BAM kepada Persatuan Badminton Putrajaya hari ini.

Jelasnya, pemain negara harus mempunyai produk semangat melawan tersendiri.

“Bila anda lihat Thailand, anda tahu mereka mempunyai semangat melawan hingga ke akhir perlawanan. Begitu juga dengan China seperti contoh pasangan beregu campuran mereka, Zheng Siwei-Chen Qingchen bangkit daripada ketinggalan kepada Soon Huat-Shevon pada separuh akhir Terbuka Denmark.

“Semangat melawan ini satu lambang dan produk. Malaysia perlu mempunyainya. Ia amat penting dan mengenai tiada pemain berbakat ia bukan satu isu lagi. Kami harus ketepikan budaya penakut,” kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) BAM.

Dalam pada itu, Norza mengakui bagi pihak BAM mereka berasa pedih dan kecewa apabila perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tumpas kepada Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada perlawanan akhir Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta.

“Tahniah kepadanya dan saya beranggapan dia tidak berdepan masalah untuk mengalahkan pemain Thailand itu, lawan yang ditumpaskannya di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia. Mungkin dia terlalu gopoh untuk mencapai kemenangan selepas menang set pertama dan mendahului set kedua 11-7.

“Dia permata yang perlu dibimbing dan saya sudah memberitahu Dauk Misbun Sidek, Jun Hao perlu diberi banyak pendedahan pada kejohanan akan datang. Kami tidak mahu pemain bertaraf dunia peringkat remaja terumbang-ambing apabila menjadi senior,” katanya yang mahu Jun Hao berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Norza juga mengakui kecewa apabila bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei hanya sekadar meraih gangsa dan memberitahu kepada ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock bahawa pemain itu perlu fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas ini sebelum merangka satu perancangan lebih baik.

“Tahniah kepada pasukan berpasukan campuran yang muncul naib juara selepas tumpas 1-3 kepada China. Kami juga mempunyai gandingan beregu campuran yang mantap iaitu Man Wei Chong-Pearly Tan cuma saya tidak tahu mengapa mereka tidak dikekalkan untuk acara individu, bedah siasat akan dilakukan selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:03 PM