REXY berbincang dengan Pearly dan M Thinaah di  di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.
REXY berbincang dengan Pearly dan M Thinaah di di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.
Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Skuad negara bakal membuka tirai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai menentang tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pertama Kumpulan B, esok.

Di atas kertas, skuad negara diletakkan pilihan keempat kejohanan dijangka tidak berdepan masalah meraih tiga mata penuh meskipun menurunkan barisan pemain kedua.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, dia dan barisan kejurulatihan belum membuat keputusan pemain yang diturunkan pada perlawanan itu.

Bagaimanapun, Rexy berharap pemain terpilih tidak mengambil mudah cabaran UAE pada kejohanan ini, sebaliknya pasukan negara tetap menghormati lawan mereka.

"Sebelum perlawanan, kami lihat keadaan semasa pemain dan semua kemungkinan. Mungkin ada pemain utama mahu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan sebagainya dan mahu diturunkan.

"Ada beberapa faktor yang kami pertimbangkan dan bincang bersama pasukan. Apapun, kami tetap menghormati UAE dan saya ingatkan pemain tidak memandang rendah kemampuan lawan mereka," katanya.

Selain UAE dan Malaysia, dua lagi pasukan Kumpulan B adalah India dan Kazakhstan dengan juara serta naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir sebelum undian semula dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik layak ke saingan Piala Sudirman 2023 yang dijadual berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.

Malaysia menyenaraikan Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao bagi acara perseorangan lelaki selain Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 9:36 PM