Zii Jia
Zii Jia
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Kerungsingan yang melanda skuad badminton lelaki negara menjelang aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) menentang Jepun 4 petang ini akhirnya berakhir dengan keadaan melegakan apabila Lee Zii Jia boleh diturunkan selaku perseorangan pertama.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan, pemain ranking ke-10 dunia itu akan memulakan cabaran juara bertahan itu dengan berdepan perseorangan pertama Jepun, Kenta Nishimoto.

Semalam, Zii Jia tidak dapat diturunkan ketika aksi suku akhir menentang Singapura susulan masalah resdung yang dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal diturunkan pada pertemuan dengan Jepun dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Bagaimanapun, kehadiran semula Zii Jia pastinya memberi nafas semula kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Aksi hari ini menyaksikan tugas selaku perseorangan kedua akan digalas Leong Jun Hao yang akan berdepan Koki Watanabe manakala Eogene Ewe turun sebagai perseorangan ketiga menentang Kento Momota.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu pertama menentang Akira Koga-Taichi Saito sementara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze yang turun selaku beregu kedua bertemua Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 2:58 PM