REAKSI  Rexy  (kanan) bersama Hendrawan ketika menyaksikan pemain negara K Letshanaa  menentang pemain Thailand, Ongbamrunphan Busanan  di Sukan Asia Hangzhou.  FOTO Asyraf Hamzah
REAKSI Rexy (kanan) bersama Hendrawan ketika menyaksikan pemain negara K Letshanaa menentang pemain Thailand, Ongbamrunphan Busanan di Sukan Asia Hangzhou. FOTO Asyraf Hamzah
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal meletakkan kepercayaan kepada barisan kejurulatihan sedia ada untuk memperbaiki prestasi barisan pemain negara menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pihak pengurusan badan induk itu sudah mempunyai pelan jangka masa panjang untuk memastikan misi meraih emas pertama menerusi program Road to Gold (RTG) di Paris tercapai.

Justeru katanya, BAM akan terus memberikan kepercayaan kepada barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

"Soalan berhubung pakar dan sebagainya, BAM sentiasa amalkan satu sikap di mana siapa yang pakar akan diberikan tugas. Sebagai contoh, Rexy diberikan sepenuh sokongan terhadap apa yang beliau perlu lakukan.

"Kami hanyalah sebagai pihak pentadbiran. Masing-masing ada kepakaran sudah diletakkan di tempat yang betul. Kita sudah ada pelan jangka panjang, cuma nak laksanakan misi Road to Gold di Paris," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran KL Masters di ABM, Bukit Kiara, hari ini.

KL Master yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 31 Oktober hingga 5 November depan turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Sementara itu, Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi skuad negara di Sukan Asia Hangzhou selepas tidak mencapai sasaran ditetapkan iaitu dua perak dan satu gangsa.

"Dari segi prestasi, memang ada kecewa tetapi kita sedar setiap perlawanan di sana tidak mudah. Kita juga boleh tengok negara-negara tradisi seperti Indonesia turut bergelut. Sekarang kita hanya perlu fokus pada sasaran, iaitu Paris," katanya.

Di Hangzhou, skuad negara hanya memperoleh satu pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 5:32 PM