AARON meraikan kemenangannya. FOTO REUTERS
AARON meraikan kemenangannya. FOTO REUTERS
Fabian Peter


Hangzhou: Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terlepas daripada mimpi ngeri awal hari ini, sebelum melangkah ke pusingan kedua acara beregu lelaki di Sukan Asia Hangzhou.

Pemain nombor lima dunia itu, terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 21-23, 21-15, 23-21 ke atas pemain Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han pada pusingan pertama di Gimnasium Binjiang.

Aaron-Wooi Yik, yang juga satu-satunya wakil negara meraih kemenangan untuk acara berpasukan ketika tumpas kepada kepada Korea Selatan 1-3 minggu lalu, percaya mereka berada dalam keadaan yang baik selepas pertempuran sengit, yang membuatkan penyokong sentiasa gementar di tempat duduk selama 90 minit.

"Ia tidak mudah dan kami benar-benar menjangkakan perlawanan pusingan pertama yang sangat sukar.

"Di dalam gelanggang akan ada yang positif dan negatif tetapi kami perlu meneruskannya.

"Kami tidak boleh merancang untuk lawan kami, tidak kira sama ada perlawanan yang sukar atau mudah. Jika lawan kami tidak terlalu kuat, maka kami perlu mematikan perlawanan dengan lebih pantas, dan mempunyai masa pemulihan yang lebih lama," kata Aaron.

Wooi Yik, menambah bahawa adalah penting bagi semua orang di kem Malaysia untuk bangkit dan memberi tumpuan kepada saingan individu.

"Saya dan Aaron mengalami banyak pengalaman menyertai Sukan Asia ini.

"Saya tahu kebanyakan kita masih sedih dengan acara berpasukan. Bagi saya, ia adalah acara berpasukan pertama saya, tetapi kami perlu bergerak ke hadapan.

"Kami mempunyai acara individu sekarang, dan ini adalah peluang kedua kami untuk menebus kesalahan, kami perlu berpegang pada senjata kami dan meneruskannya," kata Wooi Yik.

Pasangan negara itu akan menentang Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand untuk memburu tempat ke suku akhir.

Aaron-Wooi Yik, mungkin tidak memenangi gelaran jelajah dunia, tetapi mereka nampaknya mempunyai bakat untuk saingan temasya.

Pada 2021, mereka memenangi gangsa di Sukan Olimpik Tokyo, sebelum dinobatkan sebagai juara dunia setahun kemudian di bandar yang sama.

Tahun ini, kedua-duanya sekali lagi menamatkan saingan di podium pada Kejohanan Dunia, apabila mereka mendapat gangsa di Copenhagen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 4:14 PM