AKSI Tze Yong dalam acara berpasukan bertemu Korea Selatan, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI Tze Yong dalam acara berpasukan bertemu Korea Selatan, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Sekali lagi tiada sebarang hasil. Begitulah rangkuman prestasi pasukan badminton lelaki negara yang sudah tersingkir dari Sukan Asia Hangzhou, semalam.

Dalam saingan pusingan pertama di Gimnasium Binjiang itu, skuad negara tewas 1-3 kepada Korea Selatan.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Malaysia tersingkir seawal pusingan pertama di Sukan Asia selepas tewas 0-3 kepada Jepun pada edisi Jakarta-Palembang 2018.

Jika ini adalah pencapaian sebenar skuad negara, maka kontinjen negara boleh bersedia untuk kehilangan tiga pingat daripada acara badminton sahaja.

Walaupun tidak diumumkan secara terbuka, dua pingat perak diramalkan mampu diraih menerusi acara berpasukan lelaki serta juara beregu dunia tahun lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala satu gangsa untuk beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Terdapat khabar angin bahawa pasukan lelaki tidak berusaha keras kerana acara itu tidak menawarkan mata ranking Olimpik, tidak seperti acara individu yang bermula minggu depan.

Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, gagal memenuhi jangkaan apabila pemain profesional itu tewas kepada Jeon Hyeok Jin 14-21, 21-14, 18-21. Ia adalah kekalahan pertama Zii Jia ke atas pemain Korea Selatan itu dalam tiga pertemuan antara mereka.

Ketika Aaron-Wooi Yik cuba sedaya upaya untuk menyamakan kedudukan, dua lagi perlawanan selepas itu agak mengecewakan.

Pemain nombor 19 dunia, Ng Tze Yong juga menerima kritikan hebat apabila tewas mudah 11-21, 16-21 kepada pemain nombor 119 dunia, Lee Yin Gyu.

Pada perlawanan ketiga dan penentuan, beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, berjuang sebaik mungkin tetapi ia masih tidak cukup untuk menafikan kemenangan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 4:30 PM