AARON dan Wooi Yik mudah atasi beregu Thailand.
AARON dan Wooi Yik mudah atasi beregu Thailand.
Fabian Peter

Hangzhou: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya mereka mempunyai minda dan berada pada tahap terbaik untuk menampilkan persembahan terbaik di Sukan Asia Hangzhou.

Pasangan nombor lima dunia itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas mencatat kemenangan bergaya 21-12, 21-14 ke atas beregu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren pada aksi pusingan 16 terbaik, hari ini.

Ketika semua atlet tidak mahu mengalami kekalahan, Aaron-Wooi Yik pula lebih fokus untuk mengekalkan momentum mereka.

Sejak tiba di Hangzhou, Aaron-Wooi Yik masih belum tewas dalam satu perlawanan sekalipun.

Malah, mereka satu-satunya wakil negara yang menyumbang mata buat Malaysia ketika tewas 1-3 di tangan Korea Selatan pada pusingan pertama acara berpasukan.

"Bukan saya mahu mengatakan yang permainan kami sudah sempurna, tetapi kami berada pada tahap terbaik. Semuanya kini adalah mengenai untuk kekal fokus dan memastikan kekuatan mental pada tahap tertinggi dalam setiap perlawanan.

"Saya boleh katakan yang kami menikmati aksi kami di sini dan betul-betul fokus," kata Aaron yang bersedia untuk berdepan dengan sesiapa pun lawan mereka.

Sementara itu, Wooi Yik pula kelihatan sangat tenang selepas perlawanan dengan pasangan Thailand berkenaan.

Ditanya sama ada mereka mempunyai sedikit kelebihan ketika bertemu lawan dari Thailand itu selepas Supak turut beraksi dalam acara campuran sebelum itu, Wooi Yik, berkata:" Ya, kami sedar mengenai perkara itu.

"Dia mempunyai tempoh yang singkat untuk pulih, dan kami gunakan kelebihan yang ada. Bagaimanapun, kami tetap yakin mampu menewaskan mereka jika tiada sedikit kelebihan berkenaan.

"Dalam minda saya sekarang hanyalah mengenai kemenangan tetapi perlu mempunyai minda yang betul apabila berada di dalam gelanggang dan fokus dengan strategi permainan kami," katanya.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu pemenang perlawanan antara juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dengan wakil tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di suku akhir.

Dalam pertemuan terakhir menentang kedua-dua pasangan itu, Aaron-Woo Yik berjaya melakar kemenangan.

Mereka mengatasi pasangan China itu dalam laluan memenangi pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lalu manakala menewaskan beregu Korea ketika beraksi dalam acara berpasukan campuran, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:37 PM