AARON-WOOI YIK ketika beraksi menentang pemain Indonesia, Pramudya Kumumawardana-Yeremia  pada pusingan pertama Perodua Malaysia Masters 2023. -FOTO Eizairi Shamsudin
AARON-WOOI YIK ketika beraksi menentang pemain Indonesia, Pramudya Kumumawardana-Yeremia pada pusingan pertama Perodua Malaysia Masters 2023. -FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas bergelut dalam aksi pusingan pertama semalam, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bertekad untuk menggunakan tempoh rehat sehari hari ini bagi mendapat semula semangat baharu sebelum meneruskan pengembaraan di Masters Malaysia.

Menurut Wooi Yik, dia mengakui mereka tidak berada pada tahap terbaik ketika turun menentang Yeremia Rambitan-Pramudya Kusumawardana kerana baru sahaja tiba di tanah air dari China sebaik tamat saingan Piala Sudirman, kelmarin.

"Memang kami tidak cukup rehat kerana jadual yang padat, sebaik tiba dari China semalam (Isnin) kami terus menguji gelanggang. Saya ingatkan kami hanya akan bermain pusingan pertama pada Rabu tetapi perlu beraksi hari ini (semalam)," katanya.

Pasangan nombor dua dunia itu berdepan detik mencemaskan ketika aksi pusingan pertama semalam apabila nyaris ditunjukkan jalan keluar oleh juara Sukan Sea Kemboja dari Indonesia, Yeremia-Pramudya sebelum menang 18-21, 21-10, 23-21.

Pertemuan dengan lawan dari Indonesia itu turut menyaksikan Aaron mengalami kecederaan di bahagian tangan namun difahamkan tidak serius.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

"Kami bukan mahu memberikan alasan tetapi saya akui kami tidak berada pada tahap prestasi 100 peratus. Jadi, esok (hari ini) kami dapat rehat sehari dan harap boleh cergas sepenuhnya untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya," kata Wooi Yik.

Mengulas mengenai pertembungan dengan Sol Gyu-Won Ho, Wooi Yik menjangkakan mereka akan berdepan satu lagi perlawanan sukar dan perlu membuat persiapan terbaik.

"Kami baru kalah dengan Kim (Won Ho) ketika di Piala Sudirman. Jadi, sudah tentu ia bukan perlawanan yang mudah untuk kami.

"Kami perlu mengkaji permainan beregu Korea itu, lebih fokus dan tidak mengulangi kesilapan sama ketika perlawanan pusingan pertama," kata Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:18 PM