Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


BEREGU utama negara, Aaron Chia mengakui ketiadaan pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan tidak memberi kesan yang besar kepada skuad negara.

Jelas Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik, setiap beregu mempunyai kelebihan masing-masing dan skuad negara mempunyai kekuatan tersendiri.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, menolak pelawaan menyertai skuad negara kerana urusan peribadi.

Justeru itu selain Aaron-Wooi Yik, turut membarisi skuad negara adalah pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

"Walaupun kedudukan ranking V Shem-Wee Kiong lebih tinggi berbanding Izzuddin-Sze Fei yang ranking rendah sedikit, tetapi mana-mana pasangan yang pergi pun, memang beregu kita tetap kuat.

"Ini kerana setiap beregu ada kelebihan, gaya permainan dan strategi yang berbeza. Saya fikir beregu mana yang pergi pun, kita tetap ada kelebihan," katanya.

Aaron-Wooi Yik bakal berdepan tugas sukar selaku beregu utama negara termasuklah berdepan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo selepas Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama negara jiran itu, Belanda dan England.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik tidak pernah mencatat kemenangan dalam kesemua tujuh pertemuan dengan pasangan dari Indonesia itu.

"Biasanya apabila bermain dalam acara berpasukan ia memberi motivasi lebih tinggi kepada kami. Harap kami mampu pamerkan prestasi terbaik," kata Aaron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 9:51 PM