AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu India esok.
AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu India esok.
Fabian Peter


Hangzhou: Kem badminton Malaysia tidak akan pulang dengan tangan kosong dari Sukan Asia Hangzhou apabila bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir acara beregu lelaki.

Beregu nombor lima dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan gandingan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18, 19-21, 21-18 di Gimnasium Binjiang sebentar tadi.

Wooi Yik ketika ditemui wartawan mengakui mereka kini boleh menarik nafas lega selepas berusaha gigih memastikan Malaysia pulang dengan membawa pingat dalam acara badminton.

"Sudah tentu kami sangat lega, kami berjaya ke separuh akhir. Undian kami tidak mudah dan sejak hari pertama kami menentang lawan sukar.

"Tetapi saya sangat berpuas hati dengan cara kami bermain dan saya fikir ini aksi terbaik kami," kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik akan menentang beregu nombor tiga dunia dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty esok untuk memburu tempat ke final.

Sementara itu dalam perlawanan awal, beregu utama wanita negara Pearly Tan-M Thinaah tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada beregu nombor dua dunia dari Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee 15-21, 21-11, 21-7.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 11:01 PM