KIAN Meng-Pei Jing akan berdepan beregu senegara pada separuh akhir. FOTO BAM
KIAN Meng-Pei Jing akan berdepan beregu senegara pada separuh akhir. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Nasib berbeza buat dua beregu campuran negara dalam saingan suku akhir Terbuka India sebentar tadi apabila pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya melangkah ke separuh akhir, manakala gandingan baru, Chan Peng Soon-Valeree Siow gagal meneruskan kemaraan.

Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan utama kejohanan menepati ramalan apabila tidak berdepan masalah menumpaskan Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina dari Russia dengan keputusan straight set, 21-10, 21-14.

Kemaraan Kian Meng-Pei Jing menamatkan kemarau selepas kali terakhir berjaya ke separuh akhir ialah pada Mac tahun lalu di Terbuka Switzerland dan berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan sulung tahun ini selepas ketiadaan beberapa pasangan utama dunia di New Delhi.

Kian Meng-Pei Jing akan berdepan rakan senegara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang juga pilihan ketiga dalam aksi separuh akhir esok.

Tang Jie-Yen Wei tidak berdepan masalah menumpaskan pasangan tuan rumah, Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan 21-10, 21-13.

Sementara itu, hasrat untuk melihat Peng Soon-Valeree turut sama mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada pilihan kedua dari Russia, Radion Alimov-Alina Davletova.

Peng Soon yang baru saja kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan membentuk gandingan baru bersama pemain muda, Valeree tumpas 14-21, 13-21. Mereka tewas dalam tempoh 29 minit sekali gus menutup aksi pembuka tirai kempen 2022 yang berlangsung di Dewan Tertutup K.D. Jadhav, New Delhi itu.

Untuk rekod, Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Liu Ying, bulan lalu selepas bergandingan selama 13 tahun.

Rodion-Alina akan bertemu gandingan Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han yang menewaskan pasangan tuan rumah HV Nithin-K Ashwini Bhat 21-15, 21-19 di pentas separuh akhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 5:59 PM