RAMDAN (kiri) kini bergelar jurulatih perseorangan remaja negara. FOTO Ihsan Instagram misbunramdan
RAMDAN (kiri) kini bergelar jurulatih perseorangan remaja negara. FOTO Ihsan Instagram misbunramdan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun hubungan Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini menjadi tegang menerusi pendedahan dalam satu sidang media semalam, jurulatih berusia 63 tahun itu tetap mahukan anaknya Misbun Ramdan Misbun untuk terus berbakti bersama badan induk itu.

Misbun menegaskan bahawa beliau tidak akan mempengaruhi Ramdan untuk membuat sebarang keputusan dan berharap anaknya itu akan terus berkhidmat bersama BAM sebagai jurulatih.

Ramdan kini bergelar jurulatih perseorangan remaja negara, bersama-sama Mohd Hazwan Jamaluddin dan Goh Giap Chin yang di bawa masuk oleh Misbun bulan lalu.

"Ia tugasnya sebagai jurulatih dan beliau sudah melalui pelbagai kesukaran. Beliau memang layak kerana statusnya sebagai juara kebangsaan dan disebabkan itu saya ambil dia untuk berkhidmat bersama BAM.

"Saya mencari jurulatih yang pernah gelaran antarabangsa supaya senang untuk membimbing pemain baru," katanya.

Tegas Misbun, beliau sudah memaklumkan kepada Ramdan untuk tidak terpengaruh dengan konflik yang melanda dirinya dengan BAM ketika ini.

"Saya adalah saya dan beliau adalah beliau. Jika ada masalah, beliau boleh datang balik kepada saya," katanya.

Sementara itu Misbun menjelaskan belum memikirkan perancangannya selepas ini sama ada akan meneruskan kerjaya sebagai jurulatih atau sebaliknya biarpun pernah ditawarkan kontrak dari negara luar.

Malah ketika ini beliau kembali dengan aktiviti kegemarannya dan menghabiskan masa dengan memancing.

"Tawaran itu ada tetapi saya seorang yang patriotik. Saya tidak akan terima sebarang tawaran di luar selain Malaysia. Kenapa harus saya terima? Saya percaya kita boleh memupuk bakat bakat yang ada dalam negara ini untuk menjadi juara," tambah Misbun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 3:33 PM