KONTRAK Misbun ditamatkan lebih awal. FOTO NSTP
KONTRAK Misbun ditamatkan lebih awal. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Teka-teki berhubung kedudukan Datuk Misbun Sidek selaku Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini bersetuju untuk menamatkan kontrak lebih awal selepas menjalani kerjasama selama enam tahun.

Keputusan berkenaan akan berkuatkuasa 1 Ogos ini selepas persetujuan dicapai menerusi mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dua hari lalu bersama kesemua jurulatih dan pemain skuad remaja negara.

"Misbun sudah melakukan tugasnya dengan baik. Tapi keputusan ini dibuat demi kebaikan bersama. Perubahan perlu dilakukan dan Misbun faham mengenai situasi ini dan kami putuskan perubahan perlu dilakukan.

"Misbun menjadi contoh dalam peranannya sebagai pengarah pembangunan. Sejak hari pertama beliau dilantik, beliau berkhidmat dengan penuh semangat dan komited terhadap pembangunan pemain muda kami.

"Kami berterima kasih atas sumbangan beliau dan berterima kasih atas jasa beliau," katanya.

Misbun, 63 tahun mencapai persetujuan dengan BAM untuk menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada Disember sebagai mengambil tanggungjawab kegagalan skuad badminton negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia awal bulan ini.

Skuad negara terkandas di peringkat suku akhir di saingan berpasukan campuran, sementara tiada satu wakil negara berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara individu.

Ia adalah kegagalan kedua skuad remaja negara di bawah kendalian Misbun selepas prestasi kurang memberangsangkan ditampilkan ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Santander, Sepanyol tahun lalu.

Untuk rekod Misbun berpisah buat kali pertama dengan BAM pada 2011 dan kembali semula sebagai ketua jurulatih skuad senior di BAM pada 2017 dan kemudiannya diturunkan pangkat menjadi Pengarah Pembangunan skuad remaja pada 2020 dan dikecilkan tugasnya sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja November tahun lalu.

Susulan keputusan itu, Subra berkata barisan pemain remaja negara yang akan menghadapi untuk Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat dari 25 September hingga 8 Oktober 2023 ini akan berlatih bersama pasukan senior negara.

"Adalah penting bagi kami untuk memberi mereka pengalaman dalam permainan dan terbabit secara langsung dengan skuad senior.

"Kami percaya pemain junior akan mendapat manfaat yang besar dengan berlatih dan bertanding dengan pemain senior.

"Kejohanan Remaja Dunia adalah pertandingan yang sangat mencabar dan kami mahu memberikan pemain kami setiap peluang yang ada untuk membantu mereka membuat persiapan untuk kejohanan ini," kata Subramaniam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 3:44 PM