Pemain beregu wanita negara, Mei Kuan dan Meng Yeah mahu menghadiahkan pingat kepada negara. FOTO File NSTP
Pemain beregu wanita negara, Mei Kuan dan Meng Yeah mahu menghadiahkan pingat kepada negara. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pencapaian membanggakan skuad badminton negara pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, membakar semangat gandingan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, untuk melakar kejayaan pada edisi temasya sukan itu di Tokyo, bulan depan.

Mei Kuan yang bakal membuat penampilan pertama Olimpik bersama Meng Yean berkata, pencapaian tiga pingat perak disumbangkan kem badminton pada temasya di Brazil itu, memberi motivasi kepada mereka untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen negara, di Jepun nanti.

"Kami akan berjuang habis-habisan untuk capai sasaran raih pingat di Sukan Olimpik Tokyo. Kami percaya kami boleh lakukan yang terbaik dan akan berjuang habis-habisan," katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Pada temasya Rio 2016, tiga pingat perak yang diraih kem badminton ketika itu disumbangkan Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Keong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Sementara itu, Meng Yean mahu mengurangkan kesilapan ketika beraksi di pentas Olimpik Tokyo, seterusnya mampu membantu gandingan ke-11 terbaik dunia itu menampilkan aksi konsisten, pada saingan yang bakal berlangsung di Musashino Forest Sports Plaza.

Selain mereka, enam lagi pemain akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo iaitu Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); dan Peng Soon-Liu Ying (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:43 PM