MEI XING-PANG RON mahu gegar Eropah. -FOTO Agensi
MEI XING-PANG RON mahu gegar Eropah. -FOTO Agensi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Teoh Mei Xing mempunyai misi yang tersendiri bersama pasangannya Hoo Pang Ron sebaik sahaja memulakan jelajah Eropah minggu hadapan dengan kejohanan Terbuka Jerman di Mulheim menjadi aksi pertama buat mereka.

Hal ini kerana pemain berusia 26 tahun bersama pasangannya itu tekad mahu memberikan persembahan yang terbaik sepanjang Jelajah Eropah dalam misi merebut tempat dalam pasukan negara yang akan beraksi di Piala Sudirman Mei hadapan.

Sebagai permulaan, Mei Xing dan pasangannya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya melangkah ke peringkat suku akhir pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 itu nanti.

"Persiapan untuk ke Terbuka Jerman berjalan dengan baik walaupun keserasian saya dan Pang Ron masih berada pada tahap 80 peratus. Kami perlu tingkatkan konsistensi dalam gelanggang.

"Selain itu, pengalaman saya dalam beregu campuran masih kurang, jadi masih perlukan lebih banyak pendedahan kerana belum ada peluang untuk berdepan gandingan-gandingan ternama dunia," katanya.

Pada Terbuka Jerman nanti, Pang Ron-Mei Xing berdepan laluan sukar seawal pusingan pertama apabila dijadualkan bertemu rakan sepasukan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang pernah menewaskan mereka sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, Mei Xing menegaskan, setiap pemain memiliki peluang sama rata apabila melangkah masuk ke dalam gelanggang selain menganggap percaturan strategi bakal menjadi penentu perlawanan.

"Pusingan pertama kami akan bertemu Tang Jie-Ee Wei, jadi kami hanya perlu tampilkan aksi terbaik. Peluang adalah seimbang setiap kali masuk gelanggang kerana kami sudah tahu kelemahan masing-masing," ujarnya.

Selepas Terbuka Jerman, Pang Ron-Mei Xing akan mengharungi tiga lagi kejohanan sepanjang Jelajah Eropah, iaitu Terbuka Switzerland, Masters Sepanyol serta Masters Orleans.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 4:46 PM