MISBUN Sidek ketika sesi latihan skuad badminton di Bukit Kiara, 8 Disember lalu. FOTO Zunnur Al Shafiq
MISBUN Sidek ketika sesi latihan skuad badminton di Bukit Kiara, 8 Disember lalu. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menegaskan tidak panik di sebalik keputusan beberapa pemain senior keluar daripada badan induk itu untuk menjadi pemain profesional.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria sebaliknya berkata, keputusan itu memberi peluang kepada BAM meremajakan dan membentuk semula skuad kebangsaan.

“Saya lihat ini bukan masa untuk kita bersedih dengan senario itu (penghijarahan pemain), sebaliknya memberi hikmah terutama dalam meremajakan dan membentuk semula skuad kebangsaan.

"Sebelum ini kita menggunakan peruntukan untuk pemain senior, jadi selepas ini kita boleh berikan kepada pelapis untuk tujuan pendedahan di kejohanan antarabangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menjadi pemain terbaru yang meninggalkan badan induk itu.

Berdasarkan kenyataan media BAM semalam, beregu yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu sah meninggalkan skuad kebangsaan berkuat kuasa Sabtu ini.

Selain V Shem-Wee Kiong, BAM juga kehilangan beberapa pemain senior lain seperti gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Norza menegaskan, proses untuk memiliki atau mengharapkan pemain muda memang sudah berlaku di mana rata-rata pemain skuad kebangsaan ketika ini berusia 23 tahun ke bawah.

Katanya, antara tonggak muda itu ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadiki dalam perseorangan lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-Toh Ee Wei (beregu wanita), Chen Tan Jie, Hoo Pang Ron, Cheah Yee See dan Peck Yen Wei (beregu campuran).

"Ini juga seiring dengan harapan kita untuk melihat lebih banyak persatuan negeri mampu melahirkan pemain berkualiti. Sebelum ini, proses itu banyak bergantung kepada BAM saja dalam melahirkan pemain berkelas dunia.

"Kami juga memberi restu dan tidak menghalang pemain senior keluar kerana mahu mewujudkan ekosistem lebih kompetitif, di mana pemain BAM dan profesional akan bersaing sesama sendiri bagi mencapai tujuan yang sama iaitu memenangi pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 5:46 PM