Liu Ying dan Peng Soon bergerak secara profesional. FOTO EPA
Liu Ying dan Peng Soon bergerak secara profesional. FOTO EPA
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Keputusan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadikan persaingan lebih menarik membabitkan pemain beregu campuran negara bagi memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang berkata, situasi itu akan mewujudkan persaingan sihat buat anak didiknya sekali gus meningkatkan motivasi mereka untuk bersaing dengan Peng Soon-Liu Ying yang lebih berpengalaman dan dilihat berpeluang cerah untuk ke Tokyo biarpun bergerak secara profesional.

“Sudah pasti ia akan menjadi persaingan yang sihat. Sukan adalah mengenai cabaran, biarpun kita menentang sesama sendiri tapi akhirnya yang terbaik akan layak.

“Kalau tak bersaing, macam mana pemain mahu meningkatkan prestasi mereka. Seperti contoh ketika Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (bekas beregu lelaki kebangsaan) yang keluar BAM dulu, mereka bersaing dengan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang masih kekal dalam BAM untuk ke Olimpik (Rio 2016).

“Namun, akhirnya V Shem-Wee Kiong yang layak. Jadi, situasinya sama sekarang, saya percaya semua pemain akan memberikan yang terbaik untuk layak ke Olimpik,” kata Cheh Chang ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Semalam, BAM mengesahkan badan induk itu menerima permintaan Peng Soon-Liu Ying, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, keluar daripada badan induk itu berkuatkuasa serta-merta dengan mereka difahamkan mahu bergerak secara profesional.

Dengan ketiadaan pasangan nombor enam dunia itu, BAM kini hanya memiliki empat pasangan beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (11), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (24), Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (34) dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See (61).

Cheh Chang menganggap empat pasangan yang tinggal itu masing-masing berpeluang untuk layak ke Olimpik dengan syarat mereka menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi.

“Dalam hal ini, saya tidak fikir hanya Soon Huat-Shevon dan Kian Meng-Pei Jing saja berpeluang tapi dua lagi pasangan muda negara Tang Jie-Yen Wei dan Pang Ron-Yee See juga ada peluang.

“Mereka masih muda dan seharusnya menunjukkan semangat juang tinggi untuk bersaing,” katanya.

BAM sebelum ini meletakkan sasaran untuk dua beregu campuran negara layak ke Tokyo dengan mereka sekurang-kurangnya perlu berada dalam kelompok 16 terbaik dunia sebaik tamat kempen kelayakan pada April 2020.

Mengulas mengenai keputusan drastik Peng Soon-Liu Ying ketika kelayakan Olimpik akan bermula 1 Mei depan, Cheh Chang percaya pemain berusia 30 dan 29 tahun itu sudah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan.

“Mereka pasangan berpengalaman dan sudah matang. Mereka pemain perintis terhadap projek khas beregu campuran negara yang diwujudkan 10 tahun lalu bersama satu lagi pasangan Tan Aik Quan-Pei Jing.

“Jadi, mereka sudah melalui pelbagai cabaran dan pastinya mereka tahu apa yang mereka lakukan. Saya tidak boleh halang... jika ini yang mereka rasakan terbaik buat mereka, kita perlu hormati.

“Kita tak boleh katakan mereka keluar sebab tekanan daripada pengurusan BAM kerana mana-mana negara sekalipun pastinya meletakkan sasaran kepada pemain mereka dan mahu melihat keputusan yang cemerlang,” kata Cheh Chang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:49 PM