REXY Mainaky. FOTO OWEE AH CHUN
REXY Mainaky. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sentuhan 'magis' Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky diharap mampu mengakhiri penantian 17 tahun untuk kem badminton negara membawa pulang emas di temasya Sukan Asia Hangzhou.

Walaupun dilihat agak sukar berdasarkan kepada saingan daripada peserta lain namun, Rexy tetap yakin kemampuan beberapa pemain terutamanya beregu Malaysia mampu mencipta kejutan di temasya itu.

"Sudah tentu saya juga harap dapat membawa tuah kepada pasukan untuk kali ini. Saya tidak mahu beri tekanan kepada pemain tetapi saya harap ini (kemarau emas) akan menjadi motivasi kepada mereka selepas kali terakhir kita menang menerusi Koo Kien Keat- Tan Boon Heong.

"Perkara seperti ini adalah motivasi yang harus ada dalam diri Aaron Chia -Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan sesiapa pun termasuklah Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki), Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong (perseorangan lelaki)...begitu juga untuk pemain beregu campuran," katanya.

Mengikut rekod, Rexy pernah mencetuskan sensasi apabila dia berjaya membimbing pasangan Kien Keat- Boon Heong memenangi emas di Sukan Asia Doha 2006 yang menjadi kejuaraan terakhir buat kem badminton negara di pentas Sukan Asia.

Kien-Boon Heong ketika itu menamatkan penantian selama 36 tahun Malaysia bagi memenangi emas dalam sukan badminton selepas kali terakhir dimenangi Datuk Punch Gunalan dalam acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki bersama Datuk Ng Boon Bee pada edisi 1970 di Bangkok, Thailand.

Kali ini, Rexy yang kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2021 selepas meletak jawatan pada 2012 akan mengetuai barisan kejurulatihan bagi membawa pemain negara beraksi di Sukan Asia.

Taruhan terbaik Malaysia bagi mengakhiri kemarau panjang memenangi emas di Hangzhou adalah menerusi Aaron -Wooi Yik berdasarkan prestasi semasa mereka yang muncul naib juara Terbuka China, awal bulan ini.

Malah beliau juga antara watak penting terhadap kejayaan Aaron-Wooi Yik menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara dunia di Tokyo, Jepun, tahun lalu.

Rexy pula sebagai pemain mempunyai rekod cemerlang di Sukan Asia apabila berjaya memenangi emas pada 1994 dan 1998 dalam acara beregu lelaki bersama pasangannya Ricky Subagja selain acara berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:28 PM