REXY berkata, Aaron-Wooi Yik hakikatnya masih mempunyai keupayaan untuk muncul juara. FOTO AIZUDDIN SAAD
REXY berkata, Aaron-Wooi Yik hakikatnya masih mempunyai keupayaan untuk muncul juara. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata pihaknya akan mencari kaedah terbaik untuk membolehkan gandingan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dapat menamatkan kemarau kejuaraan.

Jelas legenda dari Indonesia itu, beliau mahu memastikan kaedah itu tidak memberi kesan negatif kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu yang sehingga kini masih belum mengecapi sebarang kejuaraan.

"Contohnya kalau dalam keadaan sekarang mereka disediakan dengan pakar psikologi, Aaron-Wooi Yik mungkin berasakan mereka sememangnya bermasalah, itu yang bahaya.

"Sebagai jurulatih juga kami tidak boleh terus berulang kali berkata mereka adalah pemain yang negatif kerana apa yang diperkatakan itu akan tersimpan dalam memori pemain. Jadi sekarang kami sedang memikirkan kaedah terbaik," katanya.

Rexy berkata, Aaron-Wooi Yik hakikatnya masih mempunyai keupayaan untuk muncul juara dan ia dibuktikan apabila mereka membantu skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan di Sukan Komanwel Birmingham.

"Apapun, saya akan mengadakan perbincangan dan mendapatkan maklum balas daripada mereka terlebih dahulu," katanya.

Pasangan nombor enam dunia itu sering berdepan kekecewaan apabila mengalami enam kekalahan di separuh akhir pada tahun ini termasuklah ketika saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham.

Mereka menamatkan kempen dengan meraih pingat gangsa selepas menewaskan rakan senegara, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng.

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik akan tampil di Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun bermula 22 hingga 28 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:37 PM