PEARLY-THINAAH lepasi halangan pertama. -FOTO Fathil Asri
PEARLY-THINAAH lepasi halangan pertama. -FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jika mahu menghadiahkan sesuatu yang berharga buat peminat, Pearly Tan-M Thinaah perlu segera memperbaiki permainan mereka menjelang aksi pusingan kedua Masters Malaysia esok di Axiata Arena.

Selepas menumbangkan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand semalam, Pearly mengakui sendiri bahawa mereka masih bergelut untuk mempamerkan permainan mantap terutama sekali berkenaan dengan pergerakan di dalam gelanggang.

"Memang kami belum berpuas hati walaupun mencatat kemenangan pusingan pertama. Pergerakan kami masih perlahan dan berharap dapat memperbaikinya esok," kata pemain kelahiran Kedah itu.

Ujar pemain berusia 22 tahun itu, walaupun bakal berdepan pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota esok mereka hanya mahu fokus kepada corak permainan sendiri bukannya kemampuan pemain lawan.

"Buat masa sekarang fokus kami hanya kepada permainan sendiri apa yang perlu diubah terutama dari segi kesilapan. Saya harap kami akan kembali lebih mantap," kata Pearly yang bergandingan baik bersama Thinaah untuk menumpaskan Treesa-Gayatri 21-14, 21-14.

Sementara itu, Thinaah mengakui bahawa tidak semua pelan permainan mereka menjadi semalam, kerana dia mendapati banyak lagi ruang yang harus diperbaiki seandainya mahu menumpaskan Yuki-Sayaka esok.

"Sekarang kami harus menganalisa semula permainan dan tampil lebih baik. Memang pergerakan kami sangat perlahan. Jadi kami harus berhati-hati apabila turun ke gelanggang esok.

"Kami juga harus menyesuaikan dengan keadaan gelanggang kerana kelajuan angin sedikit berbeza. Jadi kami perlu membiasakan diri agar ia tidak menjejaskan rentak permainan," kata pemain kelahiran Selangor itu.

Minggu lalu di Terbuka Malaysia, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-10 dunia terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada wakil China, Zhang Shuxian-Zheng Yu 19-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 2:54 PM