PEARLY dan Thinaah meraikan kemenangan mereka. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PEARLY dan Thinaah meraikan kemenangan mereka. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi & Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah berada di kelas tersendiri selepas mengulangi pencapaian tahun lalu di Masters Malaysia apabila berjaya mara ke separuh akhir dengan mengalahkan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota di Axiata Arena hari ini.

Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-11 dunia bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang ke atas pasangan Jepun dan juga pilihan keempat kejohanan itu 13-21, 21-19, 21-16.

Sokongan padu penonton yang hadir ke stadium jelas membantu pilihan keenam itu untuk menafikan kehebatan dan kekentalan Yuki-Sayaka.

Turut mencuri tumpuan aksi hari ini ketika pasangan Jepun mendahului 12-11 perlawanan terpaksa dihentikan seketika kerana Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky diberi amaran oleh pengadil kerana menganggu pasangan lawan.

"Kami memang tidak mahu menyerah kalah, hendak berikan yang terbaik. Sebab itulah kami berjuang habis-habisan sepanjang perlawanan," kata Thinaah.

Sementara itu Pearly, mengakui dia tidak mengalami sebarang kecederaan ketika jatuh di set pertama, cuma hanya berasa kurang cergas.

"Saya tidak dapat berdiri dengan stabil di dalam gelanggang, hanya tidak mahu mengecewakan pasangan saya dan semua orang. Saya menggunakan kekuatan mental untuk kekal bertahan sehingga tamat," katanya.

Mara ke separuh akhir Masters Malaysia setidak-tidaknya mengubati kecewaan pilihan keenam itu selepas Januari lalu tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Tahun lalu Pearly-Thinaah berjaya mara ke separuh akhir sebelum tumpas kepada wakil China, Chen Qingchen-Jia Yifan 10-21, 19-21.

Kemenangan Pearly-Thinaah menyaksikan rekod mereka dengan Yuki-Sayaka yang juara 2019 terikat 3-3 selepas enam pertemuan.

Kali terakhir pemain beregu wanita berjaya mara ke final Masters Malaysia dan muncul juara ialah pada 2012 melalui Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.

Semalam Pearly-Thinaah mencuri tumpuan apabila berjaya mencipta antara rekod rali terpanjang dunia dengan melakukan 211 pukulan dalam masa tiga minit 35 saat ketika menentang satu lagi beregu Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.

Tahun ini, penyandang juara Terbuka Perancis itu berjaya mara tiga kali ke separuh akhir iaitu di Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

Menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir ialah pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang menumpaskan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-15, 18-21, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 5:36 PM