PEARLY dan Thinaah meraikan kejayaan menewaskan beregu Korea. FOTO BAM
PEARLY dan Thinaah meraikan kejayaan menewaskan beregu Korea. FOTO BAM
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kini hanya selangkah lagi untuk bergelar juara Terbuka Perancis selepas cemerlang menewaskan gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dalam saingan separuh akhir, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin, Paris itu menyaksikan Pearly-Thinaah menampilkan aksi penuh bertenaga seawal set pertama, sekali gus meraih kemenangan 21-13.

Biarpun taktikal pada set kedua dilihat berjaya dihidu pihak lawan, namun beregu negara yang menghuni ranking ke-11 dunia itu tidak mudah mengalah dan terus konsisten dengan corak permainan kemas.

Ternyata ia berhasil apabila mereka berjaya menangkis setiap serangan lawan dan akhirnya membawa kepada kemenangan 21-17.

Menanti di final adalah beregu dari Jepun yang juga pilihan keempat kejohanan, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara selepas menewaskan beregu senegara, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-14, 25-23.

Ini peluang terbaik buat pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu untuk menebus kekecewaan di Terbuka Denmark apabila sekadar menamatkan saingan di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 10:12 PM