AARON (kanan) dan Wooi Yik pamer aksi bertenaga. FOTO BAM
AARON (kanan) dan Wooi Yik pamer aksi bertenaga. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang untuk merangkul kejuaraan pertama mereka apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina, esok.

Turut mengikuti jejak langkah pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Tokyo itu adalah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.

Aaron-Wooi beraksi dengan cemerlang dan hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin 21-13, 21-15.

Manakala Zii Jia menamatkan kebangkitan pemain kelayakan dari China, Weng Hong Yang 21-11 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama 39 minit.

Zii Jia yang juga pemain diranking ketujuh dunia itu akan berdepan Jonatan Christie yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan di pentas akhir esok.

Saingan BAC menjadi satu lagi peluang buat Aaron-Wooi Yik untuk menamatkan penantian merangkul gelaran sulung di pentas antarabangsa sejak digandingkan pada 2017 dengan pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah tujuh kali muncul naib juara termasuklah di Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche di pentas akhir selepas mereka menewaskan rakan senegara Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 22-20 13-21 21-18 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, BAC adalah medan terbaik buat pemain negara untuk mempersiapkan diri menghadapi Piala Thomas Mei ini.

Jurulatih dari Indonesia itu, berkata dengan kehadiran semua pemain utama di Asia, pemain negara berpeluang menilai tahap prestasi semasa mereka sebelum menghadapi Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 7:04 PM