AKSI Zii Jia ketika menentang pemain Indonesia. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang pemain Indonesia. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dua pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Liew Daren akan berentap pada aksi separuh akhir Terbuka Thailand esok selepas menewaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir hari ini.

Daren mempamer aksi bertenaga apabila menewaskan wakil China, Zhao Jun Peng 21-10 19-21 21-19 pada perlawanan berlangsung selama 59 minit itu.

Zii Jia pula juga terpaksa berhempas pulas selama 56 minit sebelum dapat mengatasi perseorangan Indonesia, Shesar Rhustavito 21-10, 14-21, 21-16.

Jaguh perseorangan negara yang menduduki ranking keenam dunia itu pada satu ketika dilihat ketinggalan di set penentuan namun dia menggunakan segala pengalaman yang ada padanya untuk mengatasi Shesar.

Zii Jia dan Daren pernah bertemu sekali di Terbuka Denmark tahun lalu dengan kemenangan berpihak kepada Zii Jia.

Turut mara ke separuh akhir adalah beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan pilihan kedua dari Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Yang 21-17 21-10.

Mereka akan bertemu gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rio Ardianto di separuh akhir esok.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah juga mara ke separuh akhir selepas mengatasi pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 24-22, 21-12.

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula terkandas di suku akhir selepas tewas kepada gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 18-21, 17-21.

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula tidak dapat menandingi pilihan ketiga dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi apabila tewas 21-23, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 9:34 PM